Polis Rampas Syabu Bernilai Rm13 Juta Di Homestay – Polis KL

KUALA LUMPUR, 28 Jan 2026 — Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas syabu seberat 261 kilogram bernilai kira-kira RM13 juta dalam serbuan di sebuah rumah inap desa di Segambut, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata tangkapan itu dibuat hasil risikan berterusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL).

Menurutnya, pada 27 Januari 2026 kira-kira jam 7 malam, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 32 tahun di rumah inap desa berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di ruang tamu premis menemui 13 guni mengandungi 250 bungkusan plastik teh Cina yang disyaki mengandungi syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berat keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan 261 kilogram dengan nilai pasaran sekitar RM13 juta.

Dalam serbuan berasingan di sekitar kawasan sama, polis turut menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Keempat-empat suspek telah direman selama tujuh hari bermula 28 Januari hingga 3 Februari 2026 bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, JSJN Kuala Lumpur turut menyita harta milik suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM100,100, terdiri daripada Wang tunai RM100, Sebuah Toyota Vellfire bernilai RM70,000 serta Sebuah Perodua Alza bernilai RM30,000

Datuk Fadil berkata kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan BSJND Sentul dan JSJN IPK KL serta kerjasama orang awam.

“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti dadah,” katanya.

Beliau menegaskan JSJN akan terus mempergiat usaha memerangi dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran melalui Hotline JSJN: 012-208 7222.

BBerkaitan

Latest articles