COVID-19 jadi asas tuntutan RM2.8 bilion MMC Gamuda terhadap MRT Corp

KUALA LUMPUR: MMC Gamuda mengemukakan notis tuntutan berjumlah lebih RM2.8 bilion terhadap Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), susulan pertikaian berkaitan pembinaan projek MRT Laluan Putrajaya.

Tuntutan tersebut difailkan melalui anak syarikat milik penuhnya, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, selaku rakan penyampaian projek (project delivery partner, PDP).

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat, MRT Corp selaku plaintif telah memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 November 2025, susulan notis niat tuntutan yang dikemukakan oleh pihak defendan.

Menurut notis tersebut, MMC Gamuda menuntut sejumlah RM2,821,102,265.25, yang merangkumi antaranya:

“lanjutan masa, gangguan, tuntutan SHE, kerja tambahan penjagaan tapak serta penyelenggaraan kemudahan” berjumlah RM1,819,334,781.48.

Apa yang menarik perhatian ialah sebahagian besar tuntutan RM1.8 bilion itu dikaitkan dengan kesan sekatan operasi ketika pandemik COVID-19.

Berdasarkan afidavit sokongan plaintif, tuntutan tersebut berpunca daripada kelewatan dan gangguan projek sewaktu negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menjejaskan tenaga kerja, rantaian bekalan serta kelulusan operasi.

Tuntutan ini mencetuskan kebimbangan kerana MRT Corp merupakan entiti milik kerajaan, justeru sebarang keputusan memihak kepada defendan akan memberi kesan langsung kepada kewangan awam dan wang pembayar cukai.

Lebih signifikan, tuntutan ini dibuat selepas projek MRT Laluan Putrajaya disiapkan di bawah apa yang disifatkan sebagai kontrak harga tetap (fixed-price contract), yang lazimnya tidak membenarkan tuntutan kos tambahan selepas projek siap.

Pemerhati undang-undang berpandangan, sekiranya tuntutan ini berjaya, ia berpotensi menjadi preseden kepada kontraktor lain untuk membuka semula kontrak kerajaan yang telah diselesaikan, dengan menggunakan alasan gangguan akibat COVID-19.

Untuk rekod, ratusan projek infrastruktur awam di Malaysia turut terjejas sepanjang pandemik akibat sekatan pergerakan, kekurangan tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan. Keputusan kes ini berpotensi memberi implikasi besar terhadap pengurusan risiko kontrak kerajaan pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles