KUALA LUMPUR: Isu tuntutan hak perlembagaan Sabah melibatkan pemberian khas 40 peratus hasil bersih memasuki fasa baharu apabila Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menerima sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tanpa sebarang rayuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Pemberian Khas kepada Sabah, sekali gus memperkukuh asas rundingan antara Putrajaya dan kerajaan negeri.
Menurut beliau, keputusan mahkamah bertarikh 17 Oktober lalu dijadikan rujukan utama dalam usaha menyemak semula kadar pemberian khas yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dimaklumkan Anwar dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebagai respons kepada pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (GPS–Tuaran) berhubung tahap pelaksanaan hak 40 peratus Sabah serta perkembangan terkini rundingan antara kedua-dua pihak.
Jelasnya, siri perbincangan rasmi yang disambung semula pada 17 November lalu tidak lagi tertumpu kepada perbincangan asas, sebaliknya memberi tumpuan kepada mekanisme pelaksanaan dengan mengambil kira keperluan perkhidmatan negeri dan realiti kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Antara langkah penting yang dibincangkan ialah cadangan penubuhan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas di peringkat pegawai, selain penyediaan terma rujukan sebagai panduan utama rundingan,” katanya.
Beliau menambah, rundingan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 28 Januari ini dan kedua-dua kerajaan telah menyatakan komitmen untuk memastikan perbincangan dijalankan secara berperingkat, tersusun serta berorientasikan penyelesaian demi mencapai persetujuan bersama.










