KUALA LUMPUR: Pas secara terbuka menafikan dakwaan bahawa parti itu bersetuju dengan cadangan memansuhkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seperti yang didakwa oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan apatah lagi dipersetujui, termasuk dalam pertemuan pimpinan PN pada 16 Januari lalu.
Menurut beliau, Pas kekal dengan pendirian bahawa jawatan Pengerusi PN perlu dikekalkan dan diurus tadbir selaras dengan Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN, sekali gus menolak kenyataan bahawa jawatan itu sudah dimansuhkan menerusi penstrukturan semula gabungan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi berkata, Pas mengambil maklum kandungan surat Muhyiddin yang tersebar kepada media, namun menegaskan kenyataan bahawa isu pemansuhan jawatan Pengerusi PN “tidak lagi berbangkit” adalah tidak tepat.
“Isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah dipersetujui oleh Pas,” tegas beliau.
Mengulas cadangan pindaan Perlembagaan PN, Abdul Hadi berkata Pas berpandangan Majlis Presiden perlu berfungsi sebagai Badan Penasihat dan Pengawal Selia, manakala Majlis Tertinggi PN pula bertindak sebagai Majlis Eksekutif yang melaksanakan urusan pentadbiran, strategi dan perancangan parti.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan bahawa Bersatu dan Pas mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN, dengan Bersatu mengetuai Majlis Presiden manakala Pas memimpin Jawatankuasa Eksekutif, dakwaan yang kini dinafikan secara jelas oleh Pas.










