KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan serius terhadap jenayah penipuan dalam talian yang menunjukkan peningkatan ketara dan bersifat rentas sempadan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, sepanjang 2024, beberapa peruntukan undang-undang telah diperkukuh termasuk pengenalan Seksyen 424A dan 424B Kanun Keseksaan bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pelbagai bentuk penipuan digital.
Katanya, kesalahan melibatkan pinjaman palsu, sindiket ‘love scam’, penggunaan akaun keldai serta penipuan pelaburan kini boleh dikenakan pendakwaan dengan hukuman lebih berat.
“Setakat ini, lebih 50 kes penipuan telah dikenal pasti dan kira-kira 20 pertuduhan berjaya difailkan. Nilai kerugian yang dibekukan dan disita mencecah RM30 juta, dengan sebahagiannya telah dipulangkan kepada mangsa,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Tengahari Bersama Media, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memaklumkan bahawa Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kini beroperasi 24 jam sehari sejak Julai lalu, dengan purata 5,500 panggilan diterima setiap hari, di mana hampir separuh daripadanya merupakan aduan yang sah.
Sementara itu, dalam usaha memperkukuh sistem keadilan jenayah, Kementerian Dalam Negeri turut mengubah pendekatan pengurusan penjara dengan memberi penekanan kepada pemulihan dan reintegrasi sosial, berbanding hukuman semata-mata.
Beliau berkata, kadar residivisme negara kini berada sekitar 12 peratus, antara yang terendah di rantau ini, hasil pelaksanaan program seperti Perintah Kehadiran Wajib, Parol dan Perintah Pembebasan Bersyarat.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan penjara, malah menjimatkan kos negara dan membuka peluang kedua kepada pesalah berisiko rendah untuk kembali ke masyarakat secara bermaruah,” katanya.










