Jawatan Pengerusi PN Dimansuh, Muhyiddin Dedah Persetujuan Bersatu–PAS, Mesyuarat Tertinggi Batal

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang notis atau jemputan rasmi untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung esok, namun mesyuarat berkenaan kini disahkan dibatalkan.

Dalam sepucuk surat bertarikh 27 Januari, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Bersatu dan PAS telah mencapai kata sepakat untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula gabungan pembangkang itu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, persetujuan berkenaan dicapai hasil pertemuan antara pimpinan Bersatu dan PAS pada 16 Januari lalu, yang turut membincangkan hala tuju kepimpinan PN susulan kemelut dalaman gabungan tersebut.

Hasil penstrukturan itu, katanya, Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN sebagai badan tertinggi pembuat dasar, manakala PAS dipersetujui mengetuai jawatankuasa eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran gabungan.

“Dengan struktur baharu ini, isu pelantikan pengerusi PN tidak lagi timbul kerana jawatan itu dimansuhkan. Kedua-dua badan ini penting untuk memastikan PN kekal sederhana dan relevan dalam konteks masyarakat majmuk,” menurut kandungan surat berkenaan.

Muhyiddin turut mendedahkan pertemuannya bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan diadakan khusus bagi meredakan kemelut berhubung pelantikan pengerusi PN yang baharu.

Beliau sebelum ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu susulan krisis politik di Perlis.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan pada 24 Januari bahawa satu jemputan mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN telah dikeluarkan bagi membincangkan, antara lain, pelantikan pengerusi PN yang baharu iaitu langkah yang disifatkannya bercanggah dengan persetujuan awal antara Bersatu dan PAS.

“Perkara inilah yang menyebabkan mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 29 Januari dibatalkan,” katanya.

Sebagai perkembangan terbaharu, mesyuarat rasmi PN yang dijadualkan esok tidak diteruskan, sebaliknya ketua-ketua parti komponen PN dijangka mengadakan pertemuan tidak rasmi di kediaman Muhyiddin bagi membincangkan hala tuju gabungan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

BBerkaitan

Latest articles