KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan segelintir individu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjejaskan keupayaan operasi serta kesiapsiagaan pertahanan negara.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau menolak tanggapan bahawa ATM menjadi medan subur amalan rasuah, sebaliknya menegaskan tindakan tegas sedang dan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“ATM bukan kolam rasuah dan bukan ekosistem yang dipacu oleh imbuhan, ganjaran atau pemberian yang tidak halal,” tegas beliau ketika sesi penerangan khas berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa dalam institusi pertahanan negara.
Menurut Mohamed Khaled, perbuatan rasuah, penyelewengan pentadbiran serta budaya hedonisme dalam pasukan keselamatan bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat, malah berpotensi mengancam keselamatan dan kedaulatan negara jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata, semua salah laku sedang diambil tindakan melalui Mahkamah ATM serta sistem keadilan sivil, sambil menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat.
“Kementerian memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan berkesan,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membuka ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekerjasama rapat bagi membanteras sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa.
“Saya memberi jaminan bahawa seluruh MINDEF berdiri teguh bersama SPRM dalam usaha membersihkan institusi pertahanan negara,” katanya lagi.
Bagi memulihkan keyakinan awam terhadap ATM, beliau berkata kementerian telah melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan termasuk menyemak dan menyusun semula prosedur perolehan, memperluaskan digitalisasi sistem, penggunaan kecerdasan buatan dalam analisis perolehan serta penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah.
Selain itu, kerangka Environmental, Social and Governance (ESG) turut diperkenalkan bagi mempertingkat tahap tadbir urus, kelestarian serta kemampanan pengurusan MINDEF dan ATM.
“Semua inisiatif ini bertujuan menutup ruang rasuah, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memastikan kementerian beroperasi pada tahap tertinggi,” jelasnya.
Mengulas kebimbangan terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa sistem pertahanan negara kekal utuh dan operasi ATM tidak terganggu, termasuk isu kelewatan perolehan yang sedang diselaraskan bersama Kementerian Kewangan.
“Kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap terbaik dan sama sekali tidak terjejas,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun ATM berdepan kritikan dan isu integriti, pasukan itu kekal sebagai tunjang pertahanan negara yang berperanan penting dalam menjamin kestabilan, keselamatan dan kemakmuran Malaysia.
“Perbuatan segelintir anggota yang tidak bertanggungjawab tidak mewakili keseluruhan warga ATM,” katanya.










