Sultan Selangor Tegaskan Masjid, Surau Tidak Boleh Dijadikan Medan Politik

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa semua masjid dan surau di negeri ini mesti bebas sepenuhnya daripada pengaruh serta campur tangan politik kepartian bagi memastikan keharmonian umat Islam terus terpelihara.

Baginda bertitah, institusi masjid tidak seharusnya dijadikan pentas untuk meraih sokongan politik, memenuhi kepentingan peribadi atau menyemai kebencian dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Beta tidak membenarkan mana-mana ahli politik berselindung di sebalik ceramah agama untuk mengangkat agenda politik masing-masing di masjid dan surau,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan pendirian tegas bahawa individu yang terlibat secara aktif dalam politik kepartian tidak wajar memegang jawatan sebagai nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid dan surau kerana ia boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan ahli kariah setempat.

Titah berkenaan disampaikan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 Nazir dan Imam Masjid seluruh negeri Selangor bagi sesi 2026 hingga 2030 yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa jawatan dalam pengurusan masjid dan surau bukanlah kedudukan untuk diperebutkan demi kepentingan peribadi, sebaliknya merupakan amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak.

Baginda juga tidak mahu menerima sebarang aduan berkaitan perebutan jawatan kerana perkara itu berpotensi mencetuskan permusuhan, rasa tidak puas hati serta perpecahan dalam kalangan ahli kariah dan umat Islam secara keseluruhan.

“Beta tidak mahu orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya merugikan bangsa sendiri,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya fitnah dan penyebaran tohmahan, khususnya melalui media sosial, yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat.

Baginda mengingatkan semua nazir dan ahli jawatankuasa masjid serta surau agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan berita tidak benar tanpa menyemak kesahihannya, selain menegaskan bahawa perbuatan fitnah merupakan dosa besar di sisi Islam.

“Beta sentiasa memantau perkembangan di masjid dan surau di negeri ini dan Beta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran amanah atau perbuatan yang menjejaskan keharmonian,” titah baginda.

Selain itu, baginda turut menekankan aspek pengurusan kewangan masjid dan surau, dengan mengingatkan bahawa segala dana yang dikutip merupakan amanah umat Islam dan perlu diurus secara telus, berintegriti serta mematuhi hukum syarak.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa sebarang penyelewengan dana masjid tidak akan dikompromi kerana ia bukan sahaja mencemarkan kesucian agama Islam, malah boleh menjejaskan pandangan masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini.

Baginda turut mengarahkan agar semua akaun masjid dan surau di Selangor diurus mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

BBerkaitan

Latest articles