KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak memerlukan dua penggal penuh untuk melaksanakan reformasi menyeluruh sekiranya perubahan itu digerakkan dengan keikhlasan dan ketegasan, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, reformasi sebenar boleh dicapai dalam tempoh singkat, merujuk kepada kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya membawa perubahan besar dalam kira-kira dua tahun sahaja ketika pemerintahannya.
Berucap ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Abdul Hadi menegaskan bahawa reformasi yang mengambil masa terlalu lama hanya akan berakhir dengan pertukaran jawatan tanpa sebarang perubahan mendasar terhadap sistem pentadbiran negara.
“Jika sampai dua penggal masih tidak berlaku reformasi menyeluruh, itu bukan reformasi tetapi sekadar bertukar kerusi dan bergilir memegang jawatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberi amaran kegagalan melaksanakan reformasi secara menyeluruh akan membuka ruang kepada rasuah yang lebih berleluasa, selain mendakwa wujud amalan keadilan terpilih dalam pengendalian kes-kes rasuah tertentu.
Menurut beliau, undang-undang seharusnya bertindak tegas bukan sahaja terhadap penerima rasuah, malah melibatkan pemberi serta orang tengah yang menjadi perantara dalam aktiviti tersebut.
Dalam masa sama, golongan terbabit wajar diberikan perlindungan sebagai saksi bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang.
Bagi menggambarkan ketirisan dana kerajaan, Abdul Hadi menggunakan perumpamaan monyet dan beruk berebut pisang, apabila peruntukan projek disedut sedikit demi sedikit oleh pihak tertentu sehingga baki yang sampai ke peringkat pelaksanaan tidak lagi mencukupi.
Akibatnya, beliau mendakwa banyak projek gagal dilaksanakan dengan sempurna, hospital tidak berfungsi seperti dirancang, malah terdapat pembelian aset lama dan tidak berkualiti kerana kekangan bajet sebenar.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mendakwa pegawai bawahan sering dijadikan kambing hitam untuk melindungi pihak atasan dalam kes rasuah, selain tidak menolak kemungkinan wujud individu lebih berpengaruh yang menjadi dalang sebenar di sebalik kegiatan tersebut.
Beliau menegaskan, tanpa reformasi menyeluruh dan berani, kebocoran dana akan terus berlaku di setiap peringkat pelaksanaan projek sehingga akhirnya rakyat yang menanggung akibatnya.










