“Bukan Tapak Surau” – Exco Nafi Dakwaan Tular Isu Kuil, Gurdwara Di Tanah Perkuburan Islam

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan tapak ganti dalam isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya sebagai kawasan yang pernah dicadangkan untuk pembinaan surau.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, hasil semakan bersama Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan tapak berkenaan tidak pernah diluluskan atau dicadangkan sebagai tapak surau, sekali gus menolak dakwaan seorang individu yang memuat naik hantaran di Facebook pada 23 Januari lalu.

Menurut beliau, dakwaan tersebut telah menimbulkan persepsi tidak tepat seolah-olah wujud pengambilalihan tapak surau untuk dijadikan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Fakta sebenar menunjukkan tapak yang dikaitkan dengan Kuil Sri Maha Mariamman itu bukan tapak surau dan juga bukan tapak ganti kepada binaan kuil serta gurdwara yang menceroboh tanah perkuburan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi menegaskan sebarang hasrat pihak kuil untuk menduduki tapak tersebut masih tertakluk kepada proses permohonan rasmi serta kelulusan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan, termasuk MBPJ dan Pejabat Tanah Petaling.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menetapkan perancangan serta garis masa khusus bagi menangani binaan tidak sah di kawasan perkuburan Islam di PJS4.

Kerja-kerja berkaitan pengurusan semula tapak perkuburan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dijangka bermula seawal Jun 2026.

Sehubungan itu, Fahmi menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak membuat spekulasi, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan tindakan mengikut undang-undang.

Tegasnya, kerajaan Selangor komited melindungi tanah di bawah pentadbiran institusi agama Islam daripada sebarang bentuk pencerobohan atau salah guna.

BBerkaitan

Latest articles