KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang menjalankan penelitian sama ada kenyataan yang dibuat Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempunyai unsur menghina mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, semakan tersebut dibuat susulan maklumat yang diterima oleh AGC berkaitan kenyataan peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Menurut beliau, AGC sedang menilai sama ada kenyataan berkenaan boleh membawa kepada prosiding menghina mahkamah sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, AGC sedang meneliti isu berkaitan prosiding menghina mahkamah terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah,” katanya.
Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang meminta penjelasan sama ada AGC bercadang mengambil tindakan terhadap Shafee berhubung kenyataannya mengenai keputusan mahkamah berkaitan isu tahanan rumah Najib.
Sebelum ini, Shafee dilaporkan mendakwa keputusan mahkamah tersebut telah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri dalam proses permohonan pengampunan.
Tambah Azalina, penilaian dibuat bagi memastikan sama ada kenyataan itu memenuhi elemen yang boleh diklasifikasikan sebagai menghina mahkamah.
Untuk rekod, pada 27 Jun 2025, AGC telah memberikan tempoh tujuh hari kepada Shafee untuk menjelaskan kenyataannya yang menyamakan satu prosiding mahkamah sebagai “seperti perbicaraan ala Jerman Nazi”, yang didakwa berunsur menghina institusi kehakiman.










