BAGAN DATUK: Jemaah Menteri pada Jumaat lalu memutuskan bahawa kanak-kanak berusia lima tahun akan diwajibkan mengikuti pendidikan prasekolah sebagai langkah memperkukuh asas pendidikan awal negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kabinet dan melibatkan penyelarasan prasekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, kanak-kanak berumur lima tahun akan mengikuti kelas prasekolah di sekolah kebangsaan serta institusi pendidikan di bawah kementerian berkenaan, manakala kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun akan terus disantuni melalui Tabika dan Tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), prasekolah perpaduan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya prasekolah diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan, dengan pendekatan berperingkat mengikut umur kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park di Hutan Melintang, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kemas akan meneruskan kelas prasekolah sedia ada menggunakan kurikulum semasa, namun penyelarasan dan penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan kesinambungan silibus antara tadika dan prasekolah di sekolah kebangsaan.
Beliau turut menjelaskan, Pelan Pendidikan Malaysia yang digubal merupakan pelan terkini yang mengambil kira keperluan semasa bagi memastikan kanak-kanak berusia enam tahun lebih bersedia untuk memasuki Tahun Satu.










