Tanah Runtuh Jawa Barat: Wisma Putra Sahkan Tiada Rakyat Malaysia Terjejas

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan setakat ini tiada warganegara Malaysia dilaporkan terlibat atau terkesan dalam kejadian tanah runtuh yang melanda Jawa Barat, Indonesia, semalam.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan pihaknya memberi perhatian serius terhadap perkembangan insiden tersebut dan sedang memantau rapat operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pihak berkuasa Republik Indonesia di lokasi kejadian.

Menurut kementerian itu, keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berlakunya bencana alam.

Sehubungan itu, pemantauan berterusan dilakukan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi memastikan sebarang perkembangan dapat dikenal pasti dengan segera.

“Melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, kementerian sedang mengikuti secara dekat usaha mencari dan menyelamat susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, Desa Pasirlangu, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat yang berlaku pada 24 Januari 2026,” menurut kenyataan berkenaan.

Sehingga jam 10 malam tadi, insiden tersebut dilaporkan telah meragut 10 nyawa, manakala seramai 81 individu masih dilaporkan hilang dan dikhuatiri tertimbus.

Dalam perkembangan sama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut menghubungi wakil pelajar serta warganegara Malaysia yang berdaftar di kawasan Bandung Barat bagi mengesahkan keadaan keselamatan mereka.

Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat, selain mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat yang digerakkan pihak berkuasa Indonesia dipermudahkan serta berjalan lancar.

Sementara itu, agensi meteorologi Indonesia sebelum ini telah mengeluarkan amaran cuaca ekstrem melibatkan hujan lebat berterusan selama seminggu, sekali gus meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh, khususnya di kawasan tanah tinggi.

Media antarabangsa melaporkan tragedi di Bandung Barat ini merupakan kejadian tanah runtuh kedua di Pulau Jawa dalam tempoh lebih dua bulan, selepas insiden di Cibeunying pada 13 November tahun lalu yang mengorbankan 11 nyawa akibat hujan lebat berpanjangan.

BBerkaitan

Latest articles