IPOH: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberi jaminan akan menyediakan segala keperluan di kesemua 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara susulan pelaksanaan dasar pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun mulai tahun depan.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan awal kanak-kanak selain meningkatkan kualiti pembelajaran prasekolah secara menyeluruh.
Menurut beliau, penyelarasan semua sistem prasekolah termasuk Tabika Perpaduan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan keputusan wajar, namun memerlukan tempoh peralihan sebelum dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2027.
“Ia mungkin mengambil sedikit masa untuk kajian dan tindakan lanjut, tetapi saya melihat langkah ini sebagai sesuatu yang perlu dan tepat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Peringkat Ipoh di NADI Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Aaron menyerahkan peruntukan RM50,000 kepada 10 wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Ipoh.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyelarasan tersebut seiring usaha kerajaan menyusun semula puluhan ribu institusi prasekolah bagi memastikan standard pendidikan yang lebih seragam dan berkesan di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, Aaron memaklumkan sambutan terhadap Tabika Perpaduan amat menggalakkan dengan kira-kira 33,000 kanak-kanak telah mendaftar setakat ini, manakala hanya sekitar 100 hingga 150 kekosongan masih belum dipenuhi.
“Secara purata, setiap kelas hanya mampu menampung sekitar 25 kanak-kanak bergantung kepada keluasan premis,” katanya.










