PUTRAJAYA: Skim pelaburan yang mengutip dana hampir RM300 juta daripada kira-kira 1,700 pelabur sejak 2021 hingga 2024 kini menjadi tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila wang berkenaan disyaki disalahgunakan untuk tujuan lain.
Hasil siasatan awal mendapati dana tersebut dikumpulkan atas alasan pelaburan melibatkan dua buah syarikat, namun semakan lanjut mendapati wang terbabit dipercayai dibelanjakan tidak selaras dengan perjanjian yang dimeterai bersama para pelabur, sekali gus mencetuskan syak wasangka wujud unsur penyelewengan.
Berikutan itu, SPRM membuka dua kertas siasatan dan menahan dua individu bagi membantu siasatan, selain menjalankan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada 21 dan 22 Januari lalu.
Menurut sumber, siasatan turut menumpukan peranan seorang individu bergelar Tan Sri yang dipercayai menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk menarik keyakinan pelabur agar menyertai skim pelaburan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan fokus siasatan kini tertumpu kepada usaha menjejaki aliran kewangan yang dipercayai telah diseleweng, khususnya bagi tujuan pemulihan aset.
Beliau berkata, proses tersebut melibatkan kepakaran Bahagian Analisis Kewangan SPRM serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram bagi mengenal pasti pergerakan dana serta pihak-pihak yang terlibat.
“Setakat ini, sebanyak 14 akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan, dan SPRM masih menunggu maklum balas daripada institusi perbankan berhubung baki dalam akaun terbabit.
“Tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses penjejakan aliran wang selesai,” katanya.
SPRM menegaskan siasatan akan dijalankan secara profesional dan tegas memandangkan kes berkenaan melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam.










