Ahli Parlimen BN Diminta Tolak RUU PSB

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dijadual dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Menurut beliau, penolakan itu wajar dilakukan sekiranya cadangan penambahbaikan yang dipersetujui dalam Konvensyen PSB anjuran UMNO pada Oktober lalu tidak dimasukkan ke dalam draf RUU berkenaan.

“Kita pernah mencapai kata sepakat untuk menolak RUU ini sebelum ini. Jadi tiada sebab untuk meneruskannya jika ia masih tidak berubah. Rakyat sedang memerhati dan menilai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Konvensyen PSB yang dianjurkan Pasukan Khas UMNO memutuskan agar pembentangan RUU itu ditangguhkan dan digubal semula, dengan mengambil kira pandangan pemilik hartanah serta pihak berkepentingan lain.

Konvensyen itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa draf sedia ada mengandungi banyak kelompongan, selain gagal memberi jaminan perlindungan mencukupi kepada pemilik hartanah yang terlibat dalam projek pembaharuan bandar.

Selain itu, konvensyen berkenaan mencadangkan penubuhan sebuah agensi kerajaan khusus bagi mengawal selia pembangunan semula, penjanaan semula dan penyenggaraan semula bandar bagi memastikan proses tersebut lebih telus dan teratur.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan kesediaan untuk membawa RUU PSB bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata kementerian itu bertekad meneruskan pembentangan RUU berkenaan, yang bertujuan membolehkan kawasan perumahan lama, daif dan uzur dibangunkan semula secara lebih adil, inklusif dan mampan.

Bagaimanapun, bacaan kedua RUU PSB sebelum ini ditangguhkan selepas beberapa Ahli Parlimen BN mendesak supaya ia diteliti semula susulan kebimbangan rakyat terhadap implikasi undang-undang tersebut.

BBerkaitan

Latest articles