KUALA LUMPUR — UMNO menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang sebelum ini dijadual dibentangkan di Parlimen.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian parti itu jelas bahawa UMNO tidak menentang usaha pembangunan bandar, namun menegaskan RUU berkenaan perlu diperbaiki dan ditambah baik sebelum dibentangkan semula.
Menurut beliau, beberapa pindaan penting perlu diperhalusi selaras dengan cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai URA yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Jawatankuasa khas ini telah menjalankan beberapa siri libat urus termasuk menganjurkan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober 2025 dan meluluskan sebanyak 14 syor penambahbaikan terhadap RUU URA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan RUU URA hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baharu selepas semua cadangan penambahbaikan tersebut diambil kira oleh kerajaan.
Asyraf berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan rang undang-undang berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan pembangunan bandar, tetapi turut melindungi hak dan kepentingan rakyat yang terlibat secara langsung.
Sebelum itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Kerajaan bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUUPSB) bagi membolehkan ia ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
langkah itu susulan keperluan mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih adil dan tuntas dalam menangani isu pembaharuan bandar, khususnya melibatkan golongan miskin bandar.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas yang diterima termasuk daripada ahli Parlimen semasa perbahasan di Dewan Rakyat.
“Kerajaan mahu memastikan rang undang-undang berkenaan benar-benar bersifat inklusif dengan memasukkan sebanyak mungkin cadangan yang munasabah ke dalam draf baharu.
“Sehubungan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya draf sedia ada RUUPSB ditarik balik dan diperhalusi melalui pindaan serta penambahan tertentu sebelum dibentangkan semula pada satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya pada sidang media mingguan di kementeriannya di sini, hari ini.










