KUALA LUMPUR, — Peguam kepada Datuk Seri Najib, Tan Sri Shafie Abdullah menegaskan bahawa Datuk Seri Najib tidak pernah mengubah pendiriannya bahawa dana berjumlah RM42 juta yang diterimanya adalah sumbangan derma daripada Arab Saudi, meskipun terdapat keputusan mahkamah dalam kes SRC International yang memutuskan sebaliknya.
Menurutnya Najib sejak awal percaya bahawa wang tersebut merupakan derma daripada Raja Abdullah dari Arab Saudi, dan kepercayaan itu kekal sehingga ke hari ini, termasuk semasa keterangan diberikan di mahkamah.
“Beliau tidak pernah mengatakan bahawa beliau baru mengetahui wang itu bukan dari Arab.
Apa yang beliau nyatakan ialah berdasarkan pengetahuan peribadinya, semua dana yang diterima adalah derma Arab,” katanya dalam satu sidang media di perkarangan mahkamah kuala lumpur, di sini hari ni.
Menurutnya sebahagian laporan media telah tersalah mentafsir keterangan Najib sehingga menimbulkan persepsi bahawa bekas perdana menteri itu mengakui baru mengetahui sumber sebenar dana berkenaan.
Najib yang kini di dalam perbicaraan Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari , menuntut satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Dalam pada itu, Shafie Abdullah turut menegaskan bahawa, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, tidak mempunyai kuasa untuk mengurus secara langsung operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut beliau, peranan perdana menteri terhad kepada pembuatan keputusan dasar dan tidak melibatkan pengurusan harian atau keputusan operasi yang merupakan tanggungjawab lembaga pengarah serta pihak pengurusan.
Mengulas isu kelulusan pinjaman, Shafie Menjelaskan bahawa arahan supaya sesuatu proses dipercepatkan tidak bermaksud prosedur tatakelola diketepikan.
“Mempercepatkan proses tidak sama dengan melanggar proses. Semua keputusan tetap perlu melalui prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kuasa beliau hanyalah dalam bentuk veto terhadap cadangan tertentu dan bukan untuk memulakan atau menentukan keputusan pengurusan.
Menurutnya lagi, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan terdiri daripada individu yang berkelayakan tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan operasi.
“Tidak wajar setiap keputusan syarikat dipertanggungjawabkan kepada perdana menteri,” katanya.










