KUCHING: Polis Sarawak mengesahkan siasatan kes pasangan suami isteri yang ditemukan maut di sebuah rumah di Sri Aman pada 14 Januari lalu telah selesai, selepas tiada unsur jenayah luar dikesan dalam insiden berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, sepanjang siasatan dijalankan, polis telah merakam keterangan daripada kira-kira 30 saksi yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan, rakan sekerja serta jiran terdekat mangsa.
Menurutnya, pihak polis turut menerima laporan kimia dan patologi hasil bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa, termasuk analisis senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati DNA yang ditemui pada senjata hanya milik kedua-dua mangsa dan tiada DNA asing lain dikesan.
“Kita juga tidak menemukan sebarang tanda pecah masuk, kehilangan barang berharga atau unsur samun. Berdasarkan inferens siasatan, kejadian ini hanya melibatkan kedua-dua mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, pagi ini.
Mohamad Zainal berkata, walaupun siasatan utama telah selesai dan tiada petunjuk baharu diperoleh, kes berkenaan belum boleh diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana polis masih menunggu laporan forensik terhadap telefon bimbit kedua-dua mangsa.
Tambahnya, keterangan saksi turut mendedahkan mangsa lelaki yang merupakan seorang guru besar dipercayai mengalami kemurungan selepas dipindahkan ke sekolah baharu.
“Kita berharap laporan forensik telefon bimbit dapat membantu mengenal pasti motif kejadian dengan lebih jelas,” katanya.
Sebelum ini, pada 14 Januari lalu, polis mengesahkan seorang guru besar bersama isterinya ditemukan maut di sebuah kediaman di Jalan Brayun, Sri Aman dengan kesan kecederaan serius.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa lelaki mengalami 11 kecederaan akibat objek tajam di bahagian leher dan dada, manakala mangsa perempuan pula mengalami luka tikaman di bahagian leher.










