SHAH ALAM: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000.
Tertuduh berusia 58 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang secara berasingan berjumlah RM115,000 dan RM30,000 antara September 2024 hingga Mei lalu yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Pendakwaan mendakwa perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon supaya syarat ikat jamin berjumlah RM250,000 yang dikenakan terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam turut terpakai bagi dua pertuduhan ini, selain memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibenarkan mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 30 Mac 2026 sebagai tarikh pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Semalam, Muhammad Hafizuddeain turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram melebihi RM2.12 juta.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin, akan didakwa susulan siasatan Ops Parasit berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat.
Peguam tertuduh, Aizul Rohan Anuar berkata, setakat ini anak guamnya berdepan enam pertuduhan secara keseluruhan.










