KUALA LUMPUR: Seorang bekas panglima tentera bersama isterinya, masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM2.2 juta.
Tertuduh, Tan Sri Hafizuddeain Jantan, 57, dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rosli Ahmad dalam prosiding berasingan.
Mengikut pertuduhan, Hafizuddeain didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM2,122,400 yang dikreditkan ke dalam akaun bank miliknya menerusi empat transaksi berasingan, masing-masing bernilai RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000.
Perbuatan itu didakwa berlaku antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025 melibatkan dua institusi perbankan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Salwani pula berdepan pertuduhan menerima dana berjumlah RM77,000 hasil aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB milik syarikat Wany Venture, tempat beliau bekerja sebagai pengurus.
Dana tersebut didakwa diterima melalui empat transaksi berasingan berjumlah RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025 di sebuah bank di Damansara Heights.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai hasil atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Hafizuddeain diwakili peguam Aizul Rohan Anyar dan Kausar Khairi, sementara Fahmi Moin mewakili Salwani.
Mahkamah pada awalnya menetapkan jaminan RM300,000 terhadap Hafizuddeain, namun peguam bela merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan akaunnya telah dibekukan serta beliau hanya bergantung kepada pencen bulanan sebanyak RM15,000.
Peguam turut memohon pertimbangan terhadap tempoh perkhidmatan Hafizuddeain selama 40 tahun dalam angkatan tentera, termasuk penugasan di Bosnia Herzegovina.
Hakim Azura kemudiannya membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac sebagai tarikh penyerahan dokumen berkaitan.
Bagi Salwani, Hakim Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, selepas peguamnya membantah cadangan jaminan lebih tinggi dengan alasan tertuduh tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Salwani memperoleh pendapatan tidak tetap melalui perniagaan dalam talian serta menanggung kedua-dua ibu bapanya.
Beliau juga baru mendirikan rumah tangga dengan Hafizuddeain pada Ogos tahun lalu dan telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan.
Kedua-dua tertuduh diarahkan melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali selain menyerahkan pasport masing-masing sehingga kes selesai.










