KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah tidak wajar dijadikan subjek yang boleh dikecualikan atau diringankan kerana langkah itu berisiko melahirkan generasi yang terputus daripada identiti dan akar sejarah negara.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pengabaian terhadap dua subjek teras itu akan melemahkan bahasa perpaduan dan menghakis rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua aliran sekolah termasuk antarabangsa, agama dan UEC wajib mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Zainul Rijal menyambut baik langkah tersebut.
Beliau menegaskan, kepelbagaian sistem pendidikan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip kenegaraan, sambil menuntut satu standard sukatan, penilaian dan peperiksaan Bahasa Melayu serta Sejarah Malaysia dilaksanakan di semua sekolah, termasuk swasta.
Menurutnya, kepujian dalam kedua-dua subjek itu perlu dijadikan syarat mandatori, manakala Kementerian Pendidikan (KPM) pula mesti menguatkuasakan dasar tersebut secara tegas tanpa tunduk kepada tekanan politik atau kepentingan tertentu.
Zainul Rijal turut memberi amaran, mewujudkan standard berbeza mengikut aliran sekolah bercanggah dengan Perlembagaan, khususnya Perkara 152, dan mengkhianati usaha membina identiti nasional.
Beliau menegaskan, pelajar Malaysia tidak boleh menamatkan persekolahan tanpa penguasaan Bahasa Melayu yang kukuh atau pemahaman mendalam tentang sejarah negara.
“Ini bukan sekadar isu akademik, tetapi menyentuh soal jati diri, perpaduan dan keselamatan negara,” katanya.










