KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd tampil mempertahankan reputasinya susulan laporan media yang tular semalam, sambil menegaskan syarikat itu menolak sebarang dakwaan salah laku dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Dalam kenyataan hari ini, IJM memaklumkan Pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan. Beberapa kakitangan lain yang dipanggil turut tampil memberi maklumat.
Syarikat itu turut menafikan dakwaan kononnya terdapat siasatan oleh Pejabat Penipuan Serius (SFO) United Kingdom, dengan menegaskan mereka tidak pernah dihubungi pihak berkenaan dan laporan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat.
Mengulas isu seorang individu yang digambarkan sebagai penasihat syarikat, IJM menjelaskan individu tersebut hanya dilantik secara profesional bagi urus niaga tertentu dan bukan penasihat tetap seperti didakwa.
IJM juga menolak sebarang dakwaan pengubahan wang haram, khususnya berkaitan pelaburannya di UK.
Menurut syarikat itu, pelaburan sejak 2012 dibiayai melalui institusi kewangan Malaysia dan telah melalui proses tadbir urus serta penilaian dalaman yang ketat.
IJM menegaskan komitmen untuk mengekalkan integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat bertaraf tinggi, selain memaklumkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan penting akan dimaklumkan mengikut keperluan.










