KUALA LUMPUR: Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi hari ini terhadap aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, susulan beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Menerusi saman itu, Sabri mengemukakan sebanyak 18 tuntutan berkaitan kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh defendan antara Julai 2024 hingga Disember lalu.
Peguam yang mewakili plaintif, Muhamad Firdaus Jumaludin berkata, tindakan undang-undang tersebut dibuat kerana anak guamnya mengalami kerosakan serius terhadap reputasi akibat tohmahan dan cemuhan yang disebarkan kepada umum.
“Buat masa ini, jumlah ganti rugi belum ditetapkan, namun kami menuntut pampasan yang setimpal dengan kesan yang dialami,” katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Tinggi.
Menurut beliau, pihaknya juga akan memohon perintah injunksi bagi mengarahkan semua kenyataan yang dipertikaikan supaya diturunkan daripada mana-mana platform.
Firdaus menjelaskan, saman itu diteruskan selepas defendan didakwa tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan yang dihantar sebelum ini, yang menggesa agar kenyataan terbabit ditarik balik.
Katanya, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak benar dan mengelirukan, malah berunsur fitnah sehingga menjejaskan imej serta kredibiliti Sabri sebagai seorang penjawat awam.
“Kesan fitnah itu menjadi lebih parah apabila ia disertai tohmahan liar di ruangan komen yang sukar dipulihkan hanya melalui penjelasan awam,” ujarnya.
Sebelum ini, Chegubard mendakwa Sabri terbabit dalam rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan mengandungi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menurutnya diterima oleh pertubuhan PETA pada Mei 2024.










