Kerajaan Lancar Dasar Industri Pertahanan Negara, Perkukuh Keupayaan Kendiri Sektor Pertahanan – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, — Kerajaan hari ini melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan kendiri, kelestarian dan daya tahan industri pertahanan tempatan dalam berdepan landskap keselamatan global yang semakin kompleks dan tidak menentu .

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata dasar berkenaan menjadi tonggak penting dalam membina Malaysia yang berdaulat dan dihormati, di samping mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar bagi menjamin keselamatan negara .

Menurut beliau, pelaksanaan DIPN akan disokong oleh ekosistem menyeluruh merangkumi komitmen dasar Kerajaan, pembaharuan perolehan pertahanan, pemindahan teknologi berkesan serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan .

Antara pembaharuan utama perolehan pertahanan ialah penetapan kandungan tempatan (local content) sekurang-kurangnya 30 peratus bagi setiap perolehan, selain mewajibkan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dilaksanakan oleh syarikat tempatan, kecuali dalam tempoh waranti tertentu katanya ketika berucap di Majlis peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang berlangsung di MITEC disini, hari ini.

Menurut Khaled, kontrak MRO boleh ditamatkan sekiranya syarikat tempatan gagal menunjukkan inovasi dan penambahbaikan bagi meningkatkan kandungan tempatan serta mengurangkan kos, selaras dengan kepentingan negara .

Dalam aspek pemindahan teknologi, Kerajaan akan melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) secara lebih agresif, namun hanya kepada syarikat tempatan yang benar-benar berkeupayaan untuk menerima dan memanfaatkan teknologi tersebut, selain memperkukuh peranan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dalam menyokong R&D .

Pada majlis sama, Khaled turut mengumumkan pelancaran Portal Industri Pertahanan yang menyediakan perkhidmatan permohonan ICP, sokongan R&D serta penawaran teknologi berkaitan sektor pertahanan .

Selain itu, Kerajaan mengumumkan permulaan beberapa projek pertahanan nasional, antaranya penyediaan satelit tempatan bagi menggantikan perkhidmatan sedia ada selepas 2029, pembangunan sistem laser pertahanan, pembuatan casis kenderaan darat, pengeluaran radar pasif, loitering munition system (kamikaze drone) serta pembangunan simulator pertahanan .

Beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama menyokong dan menjayakan DIPN sebagai pelaburan strategik jangka panjang demi kedaulatan, keselamatan dan masa depan negara .

BBerkaitan

Latest articles