SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 55 akaun bank melibatkan hampir RM15.8 juta selepas melancarkan operasi khas, Ops Heart, terhadap IJM Corporation Berhad semalam.
Tindakan itu dibuat susulan penggeledahan di empat lokasi berasingan termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat yang terbabit dalam sektor pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri.
Menurut sumber, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM yang sedang menyiasat dua individu pengurusan tertinggi IJM berhubung beberapa isu serius melibatkan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara.
“Siasatan ini membabitkan sebuah konglomerat yang dikaitkan dengan pelbagai persoalan tadbir urus dan transaksi kewangan meragukan, termasuk aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
“Pasukan penyiasat sudah menyerbu dan memeriksa empat lokasi melibatkan kediaman serta pejabat salah seorang pengurusan tertinggi syarikat mega itu.
“Dalam operasi sama, SPRM turut membekukan 55 akaun bank persendirian dan akaun syarikat berkaitan dengan nilai keseluruhan hampir RM15.8 juta,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan sembilan individu, termasuk dua pengurusan tertinggi IJM, dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengurusan tertinggi bergelar Tan Sri serta seorang penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan dalam kes berkenaan.
Kes itu turut mendapat perhatian antarabangsa apabila Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom mengumumkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif syarikat tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 12 Januari lalu, Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM11 bilion, sekali gus menambah tumpuan terhadap hala tuju masa depan konglomerat itu.










