SHAH ALAM: Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai pengendali umrah tempatan berskala nasional dengan sasaran membawa 5,000 jemaah menjelang awal 2026, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.
Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, usaha itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah umrah secara selamat, teratur dan berintegriti.
“Mubasyyir ditubuhkan pada 2023 sebagai syarikat bumiputera 100 peratus dan berlesen penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Dalam tempoh singkat, kami berkembang secara konsisten hasil kepercayaan orang ramai terhadap disiplin operasi yang kami amalkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh yang memaklumkan syarikat itu kini mengendalikan sehingga 28 penerbangan semusim, bersamaan kira-kira tiga penerbangan sebulan.
“Prestasi ini meletakkan Mubasyyir antara pengendali umrah tempatan yang menunjukkan pertumbuhan pesat dalam tempoh singkat,” katanya.
Menurut beliau, pengukuhan operasi itu juga menjadi asas kepada perancangan jangka panjang untuk terlibat secara rasmi dalam pengurusan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji menjelang 2027.
“Kami melihat pengurusan haji sebagai kesinambungan tanggungjawab dalam industri ibadah. Justeru, fokus kini diberikan kepada tadbir urus, pematuhan peraturan dan kestabilan operasi,” katanya.
Dalam masa terdekat, kira-kira 30 jemaah dijadualkan berlepas menunaikan umrah Syawal sebagai sebahagian daripada jadual penerbangan berkala syarikat.
Mengulas cabaran industri, Datin Seri Hajah Intan berkata sektor umrah berdepan isu ejen tidak berlesen, perubahan dasar visa Arab Saudi, persaingan harga tidak sihat serta peningkatan kos operasi.
“Penipuan pakej umrah semakin membimbangkan dan memberi kesan besar kepada imej industri. Ia bukan sahaja merugikan jemaah, malah mencemarkan reputasi pengendali yang sah dan berlesen,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum membuat tempahan dengan memastikan agensi memiliki lesen MOTAC yang sah, tidak terpengaruh dengan pakej terlalu murah, menyemak jadual penerbangan yang jelas serta mengelakkan bayaran ke akaun peribadi.
Beliau menegaskan, pemilihan pengendali yang mengamalkan pengurusan telus dan menepati jadual penerbangan amat penting bagi menjamin kelancaran ibadah jemaah.
Maklumat lanjut mengenai Mubasyyir Travel & Tours boleh diperoleh menerusi laman web rasmi syarikat di www.mubasyyirtravel.com.my.










