PUTRAJAYA, — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Sekolah Rendah dan Menengah Rendah, satu sistem penilaian baharu yang akan dilaksanakan di Darjah 4 dan Tingkatan 3, bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pengumuman itu merupakan satu langkah besar yang akan memberi impak signifikan kepada ibu bapa, guru serta keseluruhan komuniti pendidikan, namun menegaskan supaya semua pihak tidak panik atau berasa tertekan kerana ia bukan sistem peperiksaan berimpak tinggi.
“Ini bukan peperiksaan yang menekan anak-anak. Saya ingin tekankan, jangan panik. Matriks pembelajaran ini adalah satu sistem pengukuran yang lebih luas dan bersifat menyokong pembelajaran,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan di peringkat Darjah 4 adalah strategik kerana ia memberi ruang dua tahun untuk intervensi dan pengukuhan sekiranya terdapat kelemahan yang dikenal pasti sebelum murid melangkah ke peringkat seterusnya.
Beliau menjelaskan bahawa matriks pembelajaran ini berteraskan intervensi, pengukuhan dan sokongan kepada kurikulum baharu, serta tidak bertujuan menggantikan proses pembelajaran dengan budaya peperiksaan semata-mata.
Pelaksanaannya akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, bukan sebagai peperiksaan berimpak tinggi, tetapi bagi memastikan keyakinan awam terhadap ketelusan dan kebolehpercayaan penilaian tersebut.
“Mesti ada satu badan yang diyakini rakyat untuk menilai sistem ini. Sebab itu Lembaga Peperiksaan diberi tanggungjawab melaksanakannya,” katanya.
Ujian Matriks Pembelajaran bagi Darjah 4 akan dilaksanakan pada bulan Oktober, bagi membolehkan keputusan dan penilaian diselesaikan sebelum cuti sekolah, sekali gus memberi masa kepada ibu bapa dan guru menilai prestasi murid.
Sebarang isu yang dikenal pasti boleh ditangani secara berterusan di Darjah 5 dan Darjah 6 sebagai pusingan pengukuhan pertama, sebelum murid memasuki sekolah menengah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh pengumuman Perdana Menteri mengenai kemasukan ke Darjah 1 pada usia yang lebih muda, dengan menegaskan bahawa langkah itu memberi peluang pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak yang telah bersedia.
Menurutnya, walaupun perancangan asal kemasukan awal ini berada dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelaksanaannya diawalkan setelah KPM melihat potensi dan keperluan untuk digerakkan lebih awal.
“Lebih awal mereka masuk sekolah, lebih banyak peluang pembelajaran yang boleh diperoleh,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, KPM akan menjalankan ujian diagnostik bagi mengenal pasti tahap kesediaan, kekurangan dan keperluan kanak-kanak, selain membuat unjuran pengambilan guru baharu serta memberi perhatian khusus kepada isu prasarana sekolah.
Tahun ini juga akan ditetapkan satu garis masa bagi mengumpulkan data kanak-kanak berumur enam tahun di seluruh negara, sebelum proses pendaftaran kemasukan awal ke Darjah 1 dibuka.
Kanak-kanak yang dikenal pasti telah bersedia akan dibenarkan memasuki Darjah 1 pada tahun 2027.
Mengakhiri kenyataannya, Menteri Pendidikan sekali lagi menegaskan supaya ibu bapa tidak panik, sebaliknya menilai kesediaan anak-anak secara menyeluruh dan bekerjasama dengan pihak sekolah.
“Lihat anak-anak sendiri, bantu mereka dan kenal pasti tahap kesediaan mereka. Jika mereka benar-benar bersedia, kita amat mengalu-alukan mereka untuk memulakan pendidikan lebih awal,” katanya.










