KUALA LUMPUR: Isu longkang tersumbat dan kejadian banjir kilat di Taman Bahau yang tular di media sosial mendapat perhatian segera Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang menegaskan bahawa kepentingan rakyat mesti diutamakan tanpa kompromi.
Menurut beliau, permasalahan tersebut telah dibawa secara rasmi kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) serta jurutera bertanggungjawab untuk tindakan segera.
Katanya, MPJL memaklumkan bahawa permohonan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan longkang telah dipanjangkan kepada pihak berwajib, dan kerja-kerja dijadualkan dilaksana pada tahun 2026 tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
Dalam kenyataan beliau,
Zaidy turut mengeluarkan senarai terkini Ahli Majlis mengikut zon di bawah kawasan pentadbiran DUN Jeram Padang, bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan rakyat mengetahui wakil yang bertanggungjawab.
Beliau berkata Taman Bahau berada di bawah seliaan Ahli Majlis Zon 22, Puan Hazratul Ilani binti Misdar.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan kekecewaan terhadap mana-mana Ahli Majlis yang didakwa gagal menjalankan tugas, tidak turun padang dan tidak responsif dalam menangani isu rakyat.
“Perlantikan Ahli Majlis bukan untuk kepentingan politik individu. Elaun komitmen RM1,200 dan elaun telefon RM100 diberikan setiap bulan.
“Jika tidak mampu berfungsi dengan berkesan, mereka seharusnya meletakkan jawatan secara terhormat,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelantikan Ahli Majlis bukan berada di bawah cadangan ataupun bidang kuasanya, namun sebagai wakil rakyat beliau berhak menegur dan menekan pihak berkaitan agar kebajikan rakyat tidak dipinggirkan.
Zaidy menegaskan pendiriannya kekal keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan utama beliau sebagai ADUN Jeram Padang.
“Saya akan terus memantau isu ini sehingga penyelesaian muktamad dilaksanakan. Rakyat tidak boleh dibiarkan menunggu,” katanya.
Kenyataan itu sekali lagi menggariskan komitmen tegas ADUN tersebut dalam memperjuang dan memastikan isu-isu setempat diselesaikan dengan tuntas selaras dengan semangat Malaysia Madani dan slogan Jeram Padang Tetap Juara.










