Agong Murka Kes Rasuah Tentera: ‘Kalau Perlu, Sarjan Pun Saya Lantik Jadi Panglima’

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa amat kecewa terhadap pendedahan kes rasuah yang membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sambil bertitah tidak mustahil satu hari nanti anggota berpangkat rendah seperti sarjan terpaksa dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) jika masalah integriti terus berleluasa.

Baginda menegaskan, rasuah adalah musuh utama negara yang merosakkan pentadbiran, menjejaskan kesejahteraan rakyat dan menghancurkan kepercayaan terhadap institusi kerajaan.

Menurut baginda, penjawat awam yang terlibat rasuah bukan sekadar melakukan jenayah, malah merupakan pengkhianat kepada negara dan rakyat.

“Saya datang ke Kuala Lumpur dengan satu tujuan, memburu perasuah. Nampaknya saya sudah mula berjaya. Tetapi saya amat kecewa apabila kes rasuah berlaku dalam ATM sehingga ke peringkat tertinggi. Kalau keadaan ini berterusan, mungkin selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja jadi Panglima Angkatan Tentera,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda percaya kes rasuah yang terbongkar dalam ATM hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar yang lebih besar dan tersembunyi.

Baginda yakin masih ramai lagi individu terlibat rasuah di pelbagai jabatan termasuk Kastam, Imigresen, Polis dan juga dalam kalangan wakil rakyat sendiri.

“Ini cuma puncak kepada gunung ais. Saya yakin ramai lagi di luar sana, termasuk yang berada dalam dewan ini, akan diburu sampai jumpa,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara pantas, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan sesiapa.

Baginda juga mahu kerajaan menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah supaya kes rasuah dapat dibicarakan dan diselesaikan dengan segera.

Baginda turut memberi amaran keras kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat dan penjawat awam yang terlibat dengan rasuah bahawa mereka tidak akan terlepas daripada diburu.

“Kepada semua Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah jawatan itu amanah rakyat dan negara. Jika kamu salah guna kuasa, menyeleweng, menerima rasuah atau melindungi perasuah, kamu adalah pengkhianat negara,” titah baginda lagi.

BBerkaitan

Latest articles