KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tampil menarik balik kenyataannya yang sebelum ini seolah-olah menggambarkan DAP mempunyai dua kem, sekiranya ia dianggap menyinggung perasaan parti itu.
Presiden UMNO itu menjelaskan, kenyataan yang dibuat dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semalam sebenarnya bertujuan menerangkan situasi di mana terdapat segelintir kecil pemimpin DAP yang pandangannya tidak selari dengan kepimpinan utama parti tersebut.
“Jika kenyataan itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan. Tidak pernah terlintas untuk menggambarkan wujud dua kem dalam DAP.
“Mungkin hanya ada perbezaan pendapat kecil dalam kalangan sebahagian pemimpin. Perkara ini juga disebut oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama, terutama jika ia bukan pendirian rasmi parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan mendakwa kenyataan yang bercanggah daripada kepimpinan utama DAP berpunca daripada kewujudan kumpulan yang digelar ‘Team B’.
Timbalan Perdana Menteri itu turut dipetik berkata, maklumat tersebut dikatakan dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.










