KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan kiasan ‘daun kari pullay’ yang digunakan dalam ucapan dasarnya bukan sekadar perumpamaan biasa, sebaliknya ditujukan sebagai peringatan khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Zahid, kiasan itu membawa maksud UMNO tidak mahu sekadar “digunakan bila perlu dan diketepikan bila tidak diperlukan”, sebaliknya mahu dihormati sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau menegaskan, jika Anwar benar-benar mahu berkawan, maka Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu memberikan kepercayaan kepada UMNO, termasuk dalam soal penentuan calon pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Kalau tak percaya Ahmad Zahid, hendak percaya siapa lagi? Kalau bukan UMNO dan BN yang menyokong walaupun kerusi kita cuma 30, beliau takkan jadi Perdana Menteri walaupun PH ada 82 kerusi,” katanya ketika menggulung perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Zahid menjelaskan, perumpamaan daun kari itu menggambarkan situasi di mana daun kari dimasukkan ketika memasak, tetapi disisihkan ketika hendak makan.
“Kalau nak berkawan, buat cara berkawan. Percayalah kepada kita. Insya-Allah, kita tak akan khianati kawan,” tegasnya.
Dalam masa sama, Zahid menafikan dakwaan kononnya UMNO memberi tekanan kepada Anwar atau memaksa beliau tunduk kepada tuntutan parti itu.
Sebaliknya, katanya, hubungan antara UMNO, BN dan Perdana Menteri adalah berdasarkan saling menghormati dan memahami batas masing-masing.
“Saya harap ahli UMNO tahu, Anwar sebenarnya sayang kepada UMNO. DNA dia juga DNA UMNO. Tak semua permintaan boleh dipenuhi, itu mustahil. Tapi sedaya upaya beliau cuba penuhi ikut kemampuan dan pembahagian yang ada,” katanya.










