KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi peringatan tegas kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menyentuh sensitiviti ahli UMNO.
Menurut beliau, UMNO selama ini tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti lain dan prinsip itu perlu dihormati oleh semua pihak.
“UMNO tak pernah masuk campur urusan parti orang lain. Kami tidak ganggu rumah kamu, jadi jangan cuba masuk dan rosakkan rumah kami,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Wan Rosdy menegaskan kesabaran UMNO ada hadnya dan parti itu tidak akan berdiam diri sekiranya terus diserang atau dihina.
“Kalau orang berbuat baik kepada kita, kita balas dengan baik. Tapi kalau ada yang mahu berbuat jahat, kita juga tahu membalasnya,” tegas beliau.
Dalam ucapannya, Wan Rosdy turut menegaskan pendiriannya untuk terus memperjuangkan keadilan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang menurutnya konsisten diperjuangkan sejak tiga tahun lalu.
Beliau memuji keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merayu ihsan Yang di-Pertuan Agong supaya bekas Perdana Menteri itu dapat kembali bersama keluarga dan parti.
Katanya, seruan itu bukan sekadar suara seorang presiden parti, tetapi lahir daripada jiwa seorang anak Pahang yang memahami perasaan dan kesetiaan rakyat terhadap Najib, yang dianggap sebagai isu keadilan dan kemanusiaan.
Pada masa sama, Wan Rosdy mengingatkan ahli parti supaya mengutamakan perpaduan dalaman dan bergerak sebagai satu pasukan menjelang pilihan raya akan datang.
Menurutnya, perbalahan dalaman dan budaya mengadu domba hanya akan membuka ruang kepada lawan politik untuk merampas kerusi UMNO seperti yang berlaku sebelum ini.
Beliau menyeru semua sayap parti memainkan peranan masing-masing, Puteri UMNO sebagai wajah masa depan parti, Pemuda UMNO membawa suara anak muda, dan Wanita UMNO sebagai tulang belakang gerak kerja akar umbi.
“Kalau kita mahu menang, kepentingan parti mesti didahulukan, bukan kepentingan diri,” katanya.










