Pemilik Hotel ‘Mesra Gay’ Di Melaka Akhirnya Tampil Mohon Maaf

MELAKA: Pemilik sebuah hotel butik di Malim Jaya yang sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan promosi berkonsepkan ‘mesra gay’ tampil memohon maaf dan mengakui kecuaian dalam pengurusan premisnya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, pemilik hotel tersebut, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an, hadir ke pejabat MPHTJ pada Khamis lalu untuk memberi penjelasan.

Menurut beliau, warga emas itu mengakui kandungan promosi yang tular di media sosial berlaku akibat kelemahan pengurusan dan bukan disengajakan.

“Pemilik sudah memohon maaf dan mengakui kecuaian pihak pengurusan. Kandungan promosi itu juga telah diturunkan daripada laman sesawang premis dengan segera,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati hotel berkenaan turut melakukan beberapa pelanggaran lain, termasuk gagal mendaftar dan membayar Caj Warisan bagi tahun 2024 hingga kini.

Selain itu, premis tersebut juga perlu menambah lesen trend bagi beberapa aktiviti tambahan yang dijalankan di situ.

“Premis turut diarahkan memastikan sekurang-kurangnya seorang pekerja warganegara ditempatkan di kaunter. Lesen perniagaan hanya akan dipulangkan selepas semua syarat dan arahan dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Susulan itu, MPHTJ telah mengeluarkan satu kompaun terhadap premis berkenaan kerana melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel) MPHTJ 2011.

Sapiah menegaskan pihak berkuasa tempatan akan terus menjalankan penguatkuasaan secara adil dan berlandaskan undang-undang.

“Kita mengambil kira kesejahteraan serta keharmonian masyarakat setempat. Jika gagal mematuhi arahan selepas peringatan diberikan, lesen boleh dibatalkan dan permohonan perniagaan disekat,” tegasnya.

Sebelum ini, pada 13 Januari lalu, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.

Hantaran tersebut dikongsi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, yang mempersoalkan trend penggunaan label ‘friendly’ dalam penjenamaan perniagaan.

Susulan isu itu, premis berkenaan diserbu penguat kuasa MPHTJ bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), namun didapati kosong dan tidak berkunci, dipercayai telah dikosongkan sebelum tindakan sitaan dilakukan.

BBerkaitan

Latest articles