“Rumah Penyatuan Bangsa” Isyarat UMNO Sedang Dibersihkan, Bukan Lemah – Syed Mohd Kazim

KUALA LUMPUR: Mantan Setiausaha Agung Siswa Barisan Nasional (BN) Malaysia, Syed Mohd Kazim Syed Nasir, menyifatkan konsep “Rumah Penyatuan Bangsa”, sebagai panggilan untuk mengembalikan kefahaman terhadap asas perjuangan politik Melayu serta hala tuju penyatuan ummah.

Dalam kenyataan, Syed Mohd Kazim menegaskan bahawa idea penyatuan bukan slogan kosong, tetapi seruan untuk kembali kepada akar sejarah dan
prinsip perjuangan bangsa.

Beliau menggambarkan suasana politik semasa sebagai “hening yang bising”, penuh retorik namun kurang kesedaran terhadap makna perjuangan sebenar.

Menurutnya, “rumah bangsa” merujuk kepada UMNO sebagai institusi politik yang memayungi sejarah, maruah dan jatidiri Melayu.

Meskipun berdepan cabaran dan perpecahan dalaman, beliau menegaskan UMNO tetap berdiri kukuh kerana asasnya dibina atas sejarah panjang perjuangan bangsa.

Syed Mohd Kazim turut mengkritik tindakan pihak yang disifatkannya sebagai “menggergaji tiang sambil berselindung di balik senyum”, merujuk kepada pengkhianatan dalaman yang lebih merosakkan berbanding serangan musuh luar.

Beliau menyifatkan kesabaran UMNO kini seperti “harimau yang duduk”, menunggu waktu sesuai untuk bangkit, dan bukan tanda kelemahan.

Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan menjadikan Maqasid Syariah sebagai teras perjuangan, bukan hiasan politik atau alat dagangan pihak berkepentingan.

Menurutnya lagi, penyatuan ummah bukan bertujuan melemahkan UMNO tetapi “meluruskan tulang yang bengkok” selepas terlalu lama tunduk.

Seruan penyatuan itu adalah jalan pulang untuk mereka yang masih sedar asal-usul dan sejarah perjuangan bangsa.

Di penghujung kenyataannya, Syed Mohd Kazim memberi peringatan bahawa “rumah bangsa sedang dibersihkan”, dengan hanya yang setia akan dipertahankan manakala yang berpura-pura akan tersingkir.

Beliau menutup pesanannya dengan mengingatkan bahawa ancaman terbesar dalam politik Melayu bukan datang dari luar, tetapi daripada saudara sendiri yang lupa siapa diri mereka.

BBerkaitan

Latest articles