KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung dakwaan aktiviti tidak bermoral, yang dirujuk sebagai isu ‘yeye’, membabitkan 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini telah lengkap dan sedang berada di peringkat tindakan lanjut.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, yang memantau siasatan secara peribadi, memaklumkan laporan lengkap telah diserahkan kepada Cawangan Perundangan TUDM untuk menilai jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang yang bersesuaian bagi setiap pertuduhan.
“Ini bukan sekadar retorik. Saya sendiri memantau perkembangan siasatan ini. Sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil tanpa mengira pangkat,” tegas Muhamad Norazlan ketika dihubungi hari ini.
Kesemua 21 individu yang disiasat itu berasal dari Pangkalan Udara (PU) Subang. Bagaimanapun, siasatan turut meneliti kemungkinan penglibatan pegawai dari pangkalan atau unit lain, namun setakat ini tiada bukti diterima membabitkan lokasi lain.
Isu ini timbul selepas beberapa gambar dan rakaman video tular di media sosial mendakwa wujud budaya tidak bermoral dan perlakuan yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan di dalam kem tentera.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) segera mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan kebenaran dakwaan tersebut secara menyeluruh.










