KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini seperti yang dijadualkan sebelum ini, sebaliknya ia akan berlangsung hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui wartawan usai menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) sempena Ekspo Agrikomoditi Women in Halal Industry di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut beliau, keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan dipertandingkan juga belum dimuktamadkan dan hanya akan ditentukan selepas PRU16 selesai.
Ahmad Zahid berkata, penangguhan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan UMNO yang telah dipinda.
“Dalam perlembagaan, kita dibenarkan mengadakan pemilihan dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh akhir tahun pemilihan atau selepas pilihan raya umum, bergantung kepada mana yang lebih awal,” katanya.
Beliau menambah, fokus utama parti ketika ini adalah memperkukuh organisasi dan kesiapsiagaan menghadapi PRU16, bukannya memberi tumpuan kepada persaingan jawatan dalaman.
Sebelum ini, terdapat cadangan daripada sebahagian pemimpin UMNO di peringkat cawangan supaya pemilihan UMNO 2026 tidak ditangguhkan.
Malah, Ahmad Zahid sendiri pernah menyatakan kesediaannya sekiranya dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Namun, beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan UMNO berada dalam keadaan kukuh dan bersatu sebelum berdepan pilihan raya umum.










