Polis Buru Motif Kejadian Tikam Ragut Nyawa Guru Besar, Isteri

SRI AMAN: Misteri kematian pasangan suami isteri yang ditemui tidak bernyawa di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman kelmarin kini terjawab apabila bedah siasat mengesahkan kedua-duanya maut akibat tikaman objek tajam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapati mangsa lelaki mengalami 11 luka tikaman di bahagian leher dan dada, manakala isterinya mengalami kecederaan tikaman di leher.

“Punca kematian mangsa lelaki adalah akibat kecederaan serius di leher dan dada. Mangsa wanita pula turut meninggal dunia akibat luka tikaman di leher,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setakat ini polis sudah merakam keterangan 21 saksi melibatkan ahli keluarga, jiran serta rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira bukti forensik dan keterangan saksi bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Siasatan dijalankan secara profesional dan telus. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa lelaki berusia 45 tahun yang merupakan guru besar sebuah sekolah di Lubok Antu, serta isterinya berusia 44 tahun yang bertugas sebagai jururawat, ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius di dalam rumah mereka sekitar jam 6.55 pagi selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke HUS untuk bedah siasat dan difahamkan telah dibawa pulang ke Sri Aman semalam bagi urusan pengebumian.

BBerkaitan

Latest articles