KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan semua keputusan perolehan melibatkan tentera, polis dan agensi berkaitan yang mempunyai kaitan dengan isu rasuah dibekukan serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan semua proses terlibat disemak semula supaya mematuhi sepenuhnya peraturan serta bebas daripada sebarang unsur penyelewengan.
Menurut beliau, tindakan tegas itu perlu kerana masih wujud budaya memandang ringan isu rasuah, malah ada pihak yang sanggup mempertahankan perbuatan tersebut walaupun melibatkan tokoh yang memiliki kekayaan luar biasa.
“Ada kalanya bila tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang ada harta berbilion ringgit, kita disanggah dan tidak diberi kerjasama. Budaya seperti ini mesti dihentikan segera,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, hari ini.
Anwar menegaskan, usaha membanteras rasuah memerlukan kemahuan politik yang kukuh serta sokongan semua lapisan masyarakat.
Katanya, rakyat perlu memahami bahawa wang yang diseleweng sepatutnya digunakan untuk kepentingan pasukan keselamatan di peringkat bawahan atau projek kecil yang memberi manfaat terus kepada orang ramai.
“Kalau RM10 juta atau RM20 juta dicuri, itu wang yang sepatutnya kembali kepada tentera bawahan atau kepada projek yang membantu rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menunggu laporan terperinci mengenai kelemahan atau ruang manipulasi dalam sistem perolehan sedia ada, termasuk kelulusan perbelanjaan bernilai kecil yang mudah disalah guna, khususnya dalam Kementerian Pertahanan.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas pendirian tegas beliau dalam isu berkenaan.
Langkah kerajaan ini dibuat susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita harta bernilai RM11.4 juta dari dua kediaman bekas Panglima Tentera Darat (PTD), termasuk sebuah “rumah rahsia” di Kuala Lumpur dan sebuah rumah di Besut, Terengganu.
Antara barangan dirampas ialah wang tunai RM4.4 juta, mata wang asing RM1.4 juta, sebuah Range Rover SVR bernilai kira-kira RM360,000, 26 jam tangan mewah dianggarkan RM2.3 juta, barang kemas, jongkong emas 3.7 kilogram serta beberapa dinar dan medalion emas.
SPRM turut membekukan 75 akaun syarikat melibatkan jumlah RM32.5 juta dalam siasatan dikenali sebagai Ops Parasit yang bermula 23 Disember lalu.
Pada 7 Januari, bekas PTD berkenaan dan dua isterinya ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes tender perolehan Tentera Darat melibatkan transaksi wang mencurigakan bernilai puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit.










