KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan bahawa penyertaan partinya dalam kerajaan perpaduan bertujuan menyelamatkan dirinya daripada kes mahkamah.
Berucap dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, Zahid berkata tuduhan itu sering diulang oleh pihak tertentu seolah-olah ia satu kebenaran.
“Ada yang asyik sebut ‘itu semua sebab Zahid nak selamatkan diri’. Itu hanya tuduhan,” katanya disambut tepukan perwakilan.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Januari lalu yang memaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap 47 pertuduhan membabitkan Zahid berkaitan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
AGC menjelaskan keputusan itu dibuat selepas meneliti keterangan hasil siasatan tambahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan terhadap semua pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pasukan guaman Zahid memaklumkan mereka akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang diberikan sebelum ini kepada lepas dan bebas sepenuhnya (DAA).
Untuk rekod, pada tahun 2023, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan tersebut bagi memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan lanjut.
Zahid menegaskan, keputusan UMNO menyertai kerajaan perpaduan dibuat atas kepentingan negara dan kestabilan politik, bukannya untuk melindungi mana-mana individu, termasuk dirinya sendiri.










