Dari ‘No Anwar, No DAP’ Ke Rakan Kerajaan, Zahid Akui Politik Sudah Berubah

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui laungan “No Anwar, No DAP” yang pernah dicanangkannya suatu ketika dahulu kini tinggal sejarah, selepas UMNO dan DAP berada dalam kerajaan yang sama demi kestabilan negara.

Menurut Zahid, kerjasama itu bukan dirancang atas kepentingan sempit, sebaliknya berlaku kerana “susunan Allah” dan tuntutan kematangan politik selepas tiada parti memperoleh majoriti pada PRU15.

“Empat tahun lalu saya laungkan ‘No Anwar, No DAP’. Hari ini kita bersama dalam kerajaan. Allah sudah aturkan semuanya,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Beliau berkata, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah bermusuhan dengan DAP, realitinya hari ini parti itu menerima kepercayaan besar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk pelantikan lapan wakil UMNO dalam Kabinet tanpa bantahan DAP.

Zahid turut menegaskan, hubungan beliau dengan DAP adalah baik dan saling bekerjasama, termasuk dalam pilihan raya kecil yang menyaksikan calon UMNO menang dengan majoriti besar hasil sokongan rakan dalam kerajaan.

Menjawab kritikan dalaman parti, termasuk daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang lantang menentang DAP, Zahid berkata beliau secara peribadi tidak bermasalah bekerjasama dengan parti itu.

Dalam masa sama, Zahid menolak dakwaan bahawa kehadiran DAP dalam kerajaan menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.

“DAP hari ini mengiktiraf Perlembagaan, bahasa Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan. Hak Melayu dan Bumiputera tidak dipinggirkan,” katanya.

Beliau menegaskan politik negara kini berada dalam fasa baharu yang memerlukan kesediaan untuk bekerjasama, walaupun dengan musuh lama, demi kestabilan dan masa depan Malaysia.

“Dulu UMNO dan DAP mustahil duduk semeja. Hari ini kita bersama kerana rakyat mahukan kestabilan, bukan pergolakan berterusan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles