Wanita UMNO Mahu Kuota 30 Peratus Diikat Dalam Perlembagaan Parti

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menuntut parti melaksanakan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam barisan kepemimpinan dan pembuat dasar, serta mengikatnya secara rasmi dalam Perlembagaan UMNO bagi mengelakkan ia sekadar menjadi janji tanpa tindakan.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan, tuntutan itu bukan bersifat rayuan sentimental atau slogan persidangan, sebaliknya satu keperluan strategik untuk mengangkat martabat dan peranan wanita dalam landskap politik negara.

Menurut beliau, UMNO perlu menetapkan sasaran yang jelas berserta garis masa pelaksanaan supaya agenda pemerkasaan wanita tidak terus tergantung tanpa hala tuju.

“Kuota minimum 30 peratus ini mesti dilaksana secara berperingkat, tersusun dan yang paling penting, dimaktubkan dalam perlembagaan parti. Tanpa ikatan rasmi, ia mudah dilupakan.

“UMNO sentiasa mendahului perubahan. Jika parti ini benar-benar serius, ia mesti berani membuat keputusan besar selari tuntutan zaman,” katanya.

Beliau menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025, di sini, hari ini.

Noraini turut menegaskan bahawa wanita yang diberi amanah tidak akan mensia-siakan kepercayaan tersebut, sebaliknya mampu membuktikan kemampuan mereka dalam memimpin dan membuat keputusan.

Dalam pada itu, beliau menggesa UMNO menjadi peneraju dalam merealisasikan Akta Pendanaan Politik bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan parti serta melindungi sistem demokrasi negara.

Katanya, melalui akta itu, setiap sumbangan akan direkod secara telus, sumber dana didedahkan dan identiti penderma diketahui, sekali gus menutup ruang fitnah dan manipulasi.

“Mungkin ada yang takut kepada ketelusan, takut rahsia terbongkar. Tetapi UMNO tidak boleh takut. Akta ini melambangkan politik baharu iaitu politik bersih, telus dan berpihak kepada rakyat,” tegasnya.

Pada masa sama, Wanita UMNO akan melancarkan inisiatif baharu pemberdayaan ekonomi wanita dikenali sebagai ‘Center of Excellence DELIMA’ (DELIMA), susulan kejayaan program TVET JELITA.

DELIMA akan memberi fokus kepada ekonomi informal dan kendiri bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita serta membina jaringan keselamatan ekonomi.

“Tiada wanita yang berusaha keras wajar dibiarkan tanpa perlindungan dan masa depan. Pemerkasaan ekonomi wanita bukan sekadar soal pendapatan, tetapi soal keadilan sosial dan ketahanan negara,” katanya.

Wanita UMNO juga mencadangkan agenda wanita dalam industri halal dijadikan keutamaan di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal Negara (MPIH).

Menurut Noraini, industri halal mesti berkembang bukan hanya sebagai sektor keuntungan, tetapi sebagai platform memperkasa wanita, mengukuhkan ekonomi keluarga dan mengukir kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal dunia.

BBerkaitan

Latest articles