KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah bermakna parti itu menggadaikan prinsip asas perjuangan Melayu, Islam dan Raja.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan terdapat tiga “garis merah” yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun termasuk rakan politik, iaitu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Beliau memberi amaran keras bahawa UMNO tidak akan berdiam diri jika mana-mana pihak cuba mencabar tiga teras itu walaupun berada dalam gabungan kerajaan.
UMNO, katanya, sanggup bekerjasama demi kestabilan negara, tetapi tidak sesekali berkompromi soal agama, bangsa dan institusi raja.
Menolak dakwaan UMNO sudah menjadi ‘pak turut’, Mohamad menegaskan parti itu bertindak sebagai penyemak imbang paling tegas dalam kerajaan.
Walaupun kerusi UMNO tidak banyak, suaranya di Kabinet menjadi benteng supaya tiada dasar yang merugikan orang Melayu dan Bumiputera diluluskan.
Sebagai bukti, beliau berkata UMNO berjaya menangguhkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar, menghalang pilihan raya kerajaan tempatan dan terus memperkukuh agenda Bumiputera melalui MARA, TEKUN, PUNB serta Kongres Ekonomi Bumiputera.
UMNO juga, katanya, akan kekal mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan dan menolak sebarang usaha meremehkan kedudukannya atas nama kebebasan atau pluralisme melampau.
“Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi maruah Melayu, Islam dan Raja tidak pernah dan tidak akan menjadi bahan rundingan,” tegasnya.










