Bukit Tagar Bukan Kawasan Penduduk, Kerajaan Selangor Tepis Isu Sensitif Ternakan Babi

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan kawasan Bukit Tagar yang dicadang sebagai pusat penternakan babi moden sebenarnya adalah tapak pelupusan sampah dan bukan kawasan penempatan penduduk, sekali gus menolak dakwaan ia melibatkan kampung orang Melayu atau komuniti tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, kawasan itu tidak sesuai didiami sesiapa kerana statusnya sebagai tapak landfill, malah isu kaum tidak timbul dalam cadangan tersebut.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Baginda memahami keperluan negeri menyediakan sumber makanan kepada semua kaum, memandangkan Selangor merupakan negeri berbilang bangsa dan agama.

Izham menjelaskan, projek itu bukan untuk mencetuskan polemik, sebaliknya bertujuan menyelesaikan masalah pencemaran dan bau busuk yang telah lama membelenggu penduduk Tanjung Sepat dan Kuala Langat akibat ladang babi sedia ada.

Katanya, kerajaan negeri merancang memindahkan kesemua 116 ladang babi di dua kawasan itu ke Bukit Tagar secara berperingkat, dengan sasaran masalah bau dan pencemaran dapat dihapuskan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

“Walaupun saya dikecam hebat dan dituduh macam-macam, saya hanya melaksanakan amanah yang diberi. Yang menilai saya akhirnya adalah Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menyeru orang ramai menilai isu ini secara rasional dan menyeluruh, bukan berdasarkan emosi atau sentimen perkauman.

Menurutnya, langkah kerajaan negeri ini adalah penyelesaian jangka panjang demi kesihatan rakyat, alam sekitar yang lestari serta keharmonian masyarakat majmuk di Selangor.

BBerkaitan

Latest articles