KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa walaupun beliau mempunyai kuasa veto dalam urusan pelantikan dan penyingkiran pengarah SRC International Sdn Bhd, beliau bukan pihak yang mencetuskan atau merangka pelantikan individu-individu tersebut.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tugasnya terhad kepada memberi kelulusan terakhir seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan syarikat, manakala senarai calon datang daripada pihak lain.
Malah, beliau memberitahu mahkamah bahawa beberapa nama yang diluluskan tidak dikenalinya secara peribadi, termasuk bekas Pengarah Urusan SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.
Kenyataan itu dibuat semasa pemeriksaan balas dalam saman sivil SRC International terhadap beliau di Mahkamah Tinggi hari ini.
Najib mengakui beberapa artikel perlembagaan syarikat mensyaratkan kelulusan bertulis Perdana Menteri bagi pelantikan pengurusan tertinggi, namun menegaskan peranan itu tidak bermaksud beliau yang memulakan proses pelantikan.
Beliau menjelaskan, sesuatu pelantikan mesti dicadangkan terlebih dahulu oleh pihak tertentu sebelum dibawa kepadanya untuk kelulusan.
“Saya tidak boleh memulakan sesuatu yang saya sendiri tidak tahu siapa yang hendak dilantik,” katanya.
Mahkamah turut meneliti surat pelantikan bertarikh 1 Ogos 2011 yang ditandatangani Najib, melibatkan lima individu termasuk Nik Faisal sebagai pengarah urusan.
Najib mengesahkan tandatangannya, tetapi menegaskan pelantikan itu dibuat berdasarkan cadangan pihak lain.
“Saya tidak kenal beliau secara peribadi. Nama itu dikemukakan kepada saya kerana dikatakan layak,” katanya sambil menambah situasi sama berlaku terhadap beberapa pengarah lain.
Mengenai jawatan ‘Penasihat Emeritus’ SRC yang diwujudkan pada 2012, Najib berkata beliau meluluskan pindaan itu dan memegang jawatan berkenaan, namun fungsinya sekadar memberi pandangan strategik tanpa kuasa mengikat.
Perbicaraan kes saman SRC terhadap Najib akan diteruskan pada 21 Januari ini. Syarikat itu menuntut beliau membayar RM42 juta atas dakwaan pecah amanah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana.










