KUALA LUMPUR: Ahli politik Britain yang lantang menyokong Palestin, George Galloway, memuji rakyat Malaysia atas komitmen tinggi memboikot syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, sambil menyifatkan gerakan di negara ini jauh lebih kuat berbanding di banyak negara Islam lain.
Bekas Ahli Parlimen Parti Buruh itu berkata, pemerhatiannya menunjukkan cawangan rangkaian popular seperti Starbucks dan McDonald’s di Malaysia kelihatan jauh lebih lengang berbanding di negara Arab.
“Kebanyakan negara tidak seperti Malaysia. Di sini, komitmen terhadap Palestin sangat jelas,” katanya ketika berucap di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia.
Galloway mendakwa ironi berlaku apabila lebih ramai pelanggan masih memenuhi Starbucks dan McDonald’s di beberapa negara Islam berbanding di negara Barat.
Kesan boikot itu sebelum ini dilaporkan menjejaskan operasi Starbucks Malaysia, apabila syarikat pengendalinya, Berjaya Food Bhd, mengakui jenama itu yang sebelum ini menyumbang sebahagian besar pendapatan kumpulan terkesan teruk.
Bagaimanapun, pengasas Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, kemudian berkata jualan kembali meningkat apabila boikot mulai reda.
Sementara itu, McDonald’s Malaysia pernah melaporkan kerugian jutaan ringgit pada 2024, termasuk kos pemberhentian pekerja, susulan kesan boikot.
Galloway mempertahankan kempen Boikot, Pelupusan Pelaburan dan Sekatan (BDS) sebagai tindakan bermoral dan berasaskan keagamaan.
“Kita mungkin tidak boleh pergi berperang di Palestin, tetapi boikot adalah cara paling nyata untuk menunjukkan sokongan,” katanya.
Malaysia terus dikenali sebagai penyokong kuat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menganjurkan perhimpunan solidariti dan mengadakan perbincangan terus dengan pemimpin dunia mengenai konflik Gaza.










