KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan penuh kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak tegas membanteras rasuah, termasuk jika siasatan menyentuh tokoh berpengaruh atau institusi besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, rasuah di negara ini bukan lagi isu kecil tetapi sudah menjadi masalah berakar umbi yang memerlukan tindakan berterusan serta komitmen politik yang kukuh.
Walaupun terdapat kemajuan berbanding tahun-tahun lalu, Anwar menegaskan perjuangan menentang rasuah masih jauh daripada selesai.
“Rasuah ini bukan sekadar meluas, tetapi sudah bersifat sistemik. Ia menuntut usaha besar dan keberanian politik. Agensi penguatkuasaan mesti diberi ruang bekerja tanpa gangguan,” katanya.
Anwar mengakui setiap tindakan terhadap individu berprofil tinggi atau kes berskala besar pasti mengundang kritikan, namun kerajaan tidak akan berganjak daripada pendirian untuk membiarkan siasatan berjalan hingga ke penghujungnya.
“Kita tidak boleh undur hanya kerana tekanan. Bila melibatkan pemimpin besar atau kepentingan besar, suara bantahan pasti muncul, tetapi siasatan mesti diteruskan,” tegasnya.
Kenyataan itu dibuat ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menyiasat dakwaan rasuah dan kartel dalam tender perolehan ketenteraan.
Pada 23 Disember lalu, SPRM mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan bagi meneliti projek yang dilaksanakan melalui tender terbuka.
Setakat ini, 17 pengarah syarikat direman kerana disyaki terlibat dalam kartel tender projek tentera.
Seorang bekas Panglima Tentera Darat, dua isterinya serta beberapa individu lain turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama.
Anwar menegaskan agensi seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan badan kawal selia lain perlu terus memantau serta bertindak tanpa takut atau pilih kasih, walaupun kes yang disiasat bersifat sensitif dan berskala besar.










