KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka membawa seorang pegawai pengurusan tertinggi angkatan tentera ke mahkamah dalam masa terdekat berhubung siasatan kes rasuah yang kini berada di peringkat akhir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan melibatkan pegawai berkenaan sedang dimuktamadkan dan pendakwaan akan dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut beliau, tumpuan siasatan ketika ini adalah terhadap pegawai kanan tersebut sebelum kemungkinan wujud perkembangan baharu yang melibatkan pihak lain.
“Ini isu yang tidak boleh dibiarkan berlarutan. Jika tiada tindakan diambil, ia bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif, malah saya sendiri akan berasa gagal melaksanakan tanggungjawab. Tidak wajar kes besar terlepas manakala kes kecil diambil tindakan, kerana itu satu ketidakadilan,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Azam menegaskan, prinsip keadilan perlu dilihat dalam konteks tanggungjawab dan kedudukan seseorang, sambil menambah bahawa individu berpangkat tinggi yang melakukan kesalahan wajar dibawa terus ke mahkamah.
Katanya, SPRM tidak mahu siasatan berakhir dengan tangkapan semata-mata tanpa pendakwaan yang jelas.
Beliau turut memaklumkan, siasatan berkenaan melibatkan dakwaan rasuah berkait Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Bagaimanapun, jumlah wang yang disyaki terlibat masih belum boleh didedahkan buat masa ini kerana siasatan masih berjalan.
Dalam pada itu, Azam menjelaskan kes tersebut tidak ada kaitan dengan siasatan terdahulu melibatkan bekas Panglima Tentera Darat, sekali gus menepis sebarang tanggapan bahawa ia adalah kes yang sama atau berkait antara satu sama lain.










