Had 10 Tahun Jawatan PM Tak Libatkan Jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri

KUALA LUMPUR: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh hanya akan berkuat kuasa di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan kepimpinan kerajaan negeri, termasuk jawatan menteri besar dan ketua menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata inisiatif itu merupakan antara langkah penting dalam agenda reformasi institusi kerajaan, namun skop pelaksanaannya tidak merangkumi jawatan di peringkat negeri.

“Cadangan ini khusus untuk jawatan perdana menteri sahaja. Ia tidak terpakai kepada menteri besar atau ketua menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu kementeriannya.

Menurut Azalina, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah melaksanakan beberapa kajian menyeluruh bagi meneliti aspek perundangan dan pelaksanaan RUU berkenaan sebelum ia dibentangkan untuk pertimbangan Ahli Parlimen.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan merancang membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri kepada 10 tahun pada sesi Dewan Rakyat tahun ini.

Beliau menegaskan, cadangan tersebut menjadi antara teras utama reformasi institusi yang digariskan kerajaan sebagai hala tuju Parlimen pada tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles