PM Anwar Umum Bantuan STR Fasa 1, SARA 2026 & Jualan Rahmah 3 Kali Sebulan di Setiap DUN

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mula menyalurkan beberapa inisiatif bantuan rakyat pada Januari dan Februari 2026, termasuk pengkreditan awal Skim Tunai Rahmah (STR) Fasa 1, Sara 2026, serta perluasan sokongan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sara bulanan sehingga RM200 akan mula dikreditkan secara berperingkat ke dalam kad pengenalan penerima seawal 9 Januari 2026, manakala bayaran STR Fasa 1 sehingga RM500 akan dikreditkan mulai 20 Januari 2026.

Menurut beliau, program STR tahun lalu mencatat liputan tinggi apabila dimanfaatkan oleh 96 peratus rakyat, melibatkan jumlah agihan hampir RM2.1 bilion, sementara kerajaan berjaya menjimatkan RM150 juta daripada dana yang tidak dituntut.

Anwar menegaskan, penyaluran bantuan itu tidak melibatkan salah guna oleh penjawat awam atau menteri, sebaliknya sebahagian penerima berkemampuan yang layak di bawah skim tertentu menyalurkan semula manfaat kepada jiran dan komuniti yang memerlukan.

Seperti dijanjikan, RM150 juta dana yang tidak dituntut itu akan diagihkan semula kepada kumpulan rentan termasuk penghuni pusat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), penerima memerlukan peranti perubatan dan peranti digital, serta bank makanan dan dapur siswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan peruntukan awal RM15 juta.

Bagi menyokong persiapan perayaan dan ibadah, kerajaan juga akan menyalurkan RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada 9 Februari 2026, bertujuan membantu persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari & Amanat Tahun 2026 di sini hari ini.

Mengulas isu pengisytiharan cukai, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran peralihan tanpa penalti sepanjang 2026 bagi kesilapan tidak sengaja dalam pengisian borang cukai (CP500) melibatkan elaun atau bonus yang tersalah dikira sebagai gaji, namun menegaskan bahawa cukai asas tetap wajib dibayar.

Kerajaan turut melanjutkan pengecualian cukai pendapatan secara automatik selama 10 tahun di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan, tertakluk kepada syarat pengemukaan laporan audit tahunan oleh pertubuhan dan yayasan kebajikan.

Dalam memperkasa sektor PMKS, Anwar berkata:

Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan ditingkatkan kepada RM30 bilion jaminan, membuka manfaat kepada 30,000 PMKS.
Untuk 2026, kerajaan menyediakan RM10 bilion peruntukan pembiayaan khusus PMKS Bumiputera.
Bank Negara Malaysia akan menambah RM2.5 bilion pinjaman mudah PMKS, termasuk RM10 bilion skim jaminan baharu, dan RM500 juta melalui TEKUN Nasional.

Beliau turut menyentuh isu pulangan fiskal, memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Negara (LHDN) telah memulangkan bayaran balik cukai pendapatan berjumlah RM2.5 bilion, manakala bayaran balik cukai 2024 mencecah RM22.5 bilion – tertinggi dalam tempoh 35 tahun, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kebertanggungjawaban fiskal dan pengagihan semula hasil kepada rakyat.

“Dasar negara ini jelas – kita tetap prihatin, termasuk dasar Bumiputera yang dilaksanakan lebih progresif dan inklusif. Ini bukan soal pilih kasih, tetapi menunaikan janji dan memperkukuh potensi negara,” katanya.

Beliau menambah, program Jualan Rahmah MADANI akan dimulakan 9 Januari 2026, dengan pelaksanaan 3 kali sebulan di setiap DUN, menyasarkan lebih 23,000 siri jualan Rahmah seluruh negara, menawarkan barangan asas pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga setempat, termasuk 5,000 jualan Agro MADANI pada harga lebih rendah.

BBerkaitan

Latest articles